
NGO tersebut meminta pemimpin Pakatan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak menjadi mangsa keganasan penyokong BN.
PETALING JAYA: Institut Budaya Politik (IBO) sebuah NGO yang memerhati politik tanah air meminta pemimpin Pakatan Rakyat supaya memberi tumpuan yang lebih kepada keselamatan ahli parti dan penyokong yang sering menjadi mangsa keganasan penyokong BNNGO tersebut turut meminta pemimpin Pakatan Rakyat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan (preventive measures) untuk mengelakkan perkara sebegini daripada berulang.
Pengasasnya, S Gobi Krishnan berkata, IBO berasa sedih dengan segelintir pemimpin Pakatan Rakyat yang enggan atau tidak mampu mempertahankan penyokong mereka daripada serangan oleh penyokong BN.
“Sejak kebelakangan ini, serangan dan keganasan terhadap penyokong PR menjadi satu budaya politik BN yang memang terkenal dengan serangan-serangan begini,’ katanya.
“Tetapi, apa yang sedih adalah sebahagian pemimpin PR gagal memainkan peranan seperti pemimpin sebenar,” tambah beliau.
Merujuk kembali sebuah insiden yang berlaku di hadapan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tahun lepas di mana sekumpulan kecil (lebih kurang 20 orang) pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di atas isu ketiadaan kad pengenalan diri seorang pelajar.
`Kumpulan kecil diserang’
“Kumpulan kecil ini diserang oleh sekumpulan besar (lebih kurang 200) pemimpin, ahli dan penyokong (termasuk samseng) dari parti MIC.”
Di dalam insiden ini, dua orang ahli dan penyokong Pakatan Rakyat diserang sebegitu rupa dengan seorang daripadanya cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Beliau terpaksa dimasukkan ke dalam wad untuk menjalani pembedahan di bahagian mata.
“Sedangkan membuat laporan polis tiada sebarang siasatan mahupun tangkapan dibuat oleh pihak polis walaupun kejadian ini berlaku di hadapan pejabat PM dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh pihak polis itu sendiri dan dilengkapi banyak CCTV yang sudah pasti merakam kejadian tersebut.”
Apa yang berlaku seterusnya adalah pimpinan parti Pakatan Rakyat mengadakan sidang akhbar seperti biasa dan mengutuk kejadian tersebut.
“Dan selepas itu, masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa sebarang tindakan susulan. Tetapi, ahli Pakatan Rakyat yang cedera itu, terpaksa membayar sendiri kos rawatan beliau di hospital dan kembali meneruskan kehidupan beliau,” kata Gobikrishnan.
“Kes ini adalah salah satu contoh terbaik pemimpin PR gagal menunaikan tanggungjawab mereka,” Tambahnya.
Banyak kejadian serangan
Menurut beliau lagi, semenjak itu, banyak lagi kejadian serangan seperti ini yang berlaku, termasuk yang baru-baru ini di Pulau Pinang.
Namun pimpinan Pakatan Rakyat seperti biasa hanya mengadakan sidang akhbar dan kemudian tutup buku.
Gobikrishnan kata sebagai pemimpin tugas pemimpin adalah untuk memimpin. Bukan sekadar mencari publisiti murahan dengan mengadakan sidang akhbar demi sidang akhbar.”
“Ya, sidang akhbar memang perlu untuk menghebahkan perkara tersebut dan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak,” kata beliau.
Namun, tidak sepatutnya terhenti di situ sahaja, emimpin seharusnya mengambil tahu hal kebajikan ahli dan penyokong mereka.
Pemimpin seharusnya memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menjaga keselamatan dan kebajikan ahli dan penyokong mereka.
“Sebagai contohnya, sekiranya ahli atau penyokong diajak berhimpun atau mengadakan sebarang bantahan akan sesuatu isu, maka pemimpin seharusnya bersedia dengan pasukan atau kumpulan yang mampu menjaga keselamatan ahli dan penyokong mereka.”
“Kita boleh ambil contoh parti PAS dengan Unit Amal yang berperanan menjaga keselamatan ahli mereka.”
Unit amal
Unit amal ini dilatih sebegitu rupa supaya mereka kekal profesional dalam menjalankan tugas walaupun mereka bertugas secara sukarela. Inilah yang harus dicontohi.
Ingatlah bahawa siapalah pemimpin tanpa ahli atau penyokong.
“Saya pasti ramai ahli atau penyokong Pakatan Rakyat yang sanggup mempertahankan pemimpin mereka tanpa menghiraukan keselamatan diri, maka pemimpin juga harus berfikiran sedemikian, ” kata beliau.
Menurutnya, seorang pemimpin tulen akan mengepalai perjuangan di barisan hadapan dan bukan hanya duduk di kerusi empuk mengarahkan ahli bawahan berjuang semata- mata.
Ingatlah bahawa sikap menuruti kata pemimpin secara membuta tuli adalah ajaran rejim Umno-BN yang patut dielakkan.
Kita adalah pelopor politik era baru, maka kita seharusnya betul-betul mempelopori politik era baru dimana pemimpin dan penyokong duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, katanya.FMT
0 comments:
Post a Comment