BAYAN
BARU 13 Mei: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendedahkan
pembelian undi besar-besaran di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum
(PRU) lalu, dipercayai melibatkan peruntukan berjuta ringgit.
Katanya,
perancangan cukup rapi dan sistematik itu dilakukan pihak tertentu
dengan pemberian voucher kepada pengundi, yang kemudian ditebus dengan
wang tunai selepas pilihan raya.
“Masa PRU, pihak berkenaan telah beri voucher dan beritahu pengundi kalau BN menang, mereka boleh dapat special bonus. Selepas PRU, mereka mula memberi special bonus ini. Pengundi dibayar dengan anggaran RM120 hingga RM200 setiap seorang,” ujarnya kepada keadilan daily.
Menurutnya, Laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah dibuat bersama bekas Speaker Pulau Pinang, Datuk Halim Hussain Jumaat lalu, namun tiada tindakan diambil.

“Ini kes yang besar kerana menunjukkan pembelian undi besar-besaran berlaku di Pulau Pinang dan kita tidak nampak ada tindakan.
“Di tempat yang kita kalah, semuanya kalah dengan marjin yang cukup rendah. Maka mungkin pengundi dipengaruhi dengan pemberian special bonus untuk mengundi Barisan Nasional,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya mengesyaki pembelian undi itu dilakukan di banyak tempat, membabitkan puluhan ribu pengundi dan peruntukan jutaan ringgit.
“Siapa yang mempunyai kekuatan organisasi yang begitu besar untuk mengagihkan wang berkenaan dan kenapa pihak berkuasa tidak ambil tindakan?” Soalnya.
Menurutnya, pagi tadi, enam calon DUN dan seorang calon parlimen dari Pakatan Rakyat, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Laporan itu dibuat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana memberi wang sogokan atau rasuah sama ada sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
0 comments:
Post a Comment